Wednesday, August 29, 2007

Jejak @ Pijak




































Pengenalan

Berkat kesabaran dan kesefahaman pelbagai pihak, projek kerjasama antara Balai Seni Lukis Negara (BSLN) dengan Galeri Nasional Indonesia (Galnas) tercapai juga setelah beberapa kali dirancang. Lebih bertuah lagi ianya diadakan sempena menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke 50 pada tahun ini. Sejak ditubuhkan pada tahun 1958, belum pernah lagi Balai Seni Lukis Negara menganjurkan pameran di Indonesia, walaupun aktiviti pameran dan kesenian lain seperti dialog, residensi, khidmat professional penghakiman dan sebagainya sering diadakan sama ada oleh BSLN sendiri, Yayasan Kesenian Perak, Gudang, Lost Generation Space, Galeri Shah Alam dan banyak lagi institusi serta galeri-galeri tempatan. Peluang yang muncul kali ini tidak dilepaskan dengan penampilan satu pakej pameran yang segar dan bertenaga. Tema JEJAK dipilih sebagai satu gambaran bermulanya satu era baru dalam senario seni tampak Malaysia pada pertengahan kurun ke 20 yang melahirkan ramai seniman yang cemerlang dan gemilang.

Hakikatnya kecemerlangan ini bukanlah semudah memetik jari, tetapi melalui pelbagai rintangan, halangan, perit, jerih, air mata, keringat dan usaha. Proses ini dibantu dengan kewujudan pelbagai bentuk kumpulan pelukis seperti Angkatan Pelukis Pulau Pinang, Wednesday Art Group, Anak Alam, Angkatan Pelukis Semalaysia, Persatuan Pelukis Sabah dan sebagainya. Kelahiran institusi seni awal seperti Nanyang Art Academy di Singapura, Kajian Senilukis dan Senireka, Institut Teknologi MARA - ITM (kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA, UiTM), Malaysia Academy of Art (MIA) dan Kuala Lumpur College of Art dan banyak lagi telah membantu melonjak bidang seni tampak Malaysia ke persada seperti sekarang. Malah wujudnya BSLN pada 28 Ogos 1958 telah banyak membantu mempromosi dan mengekalkan warisan seni tampak negara sejajar dengan visinya iaitu sebagai pusat informasi dan aktiviti seni tampak terunggul serta pemegang amanah Warisan Seni Tampak Negara.

Keampuhan seniman veteran dan senior Malaysia menyumbang dan membantu perkembangan seni tampak negara sememangnya tidak dinafikan. Namun bagaimana pula selepas ini? Hampir seusia dengan kemerdekaan negara, sudah tiba masanya BSLN menyelongkar satu kelainan dengan memaparkan karya pelukis-pelukis muda Malaysia yang telah membuktikan kehadiran mereka sebagai satu ‘jejak’ pelapis kearah meneruskan perjuangan memartabatkan bidang seni tampak Malaysia.

Perubahan

Sejak awal tahun 90an kerajaan telah mula melancarkan kempen ke arah sebuah Negara Maju melalui beberapa dasar dan program seperti Wawasan 2020 dan usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat MSC (Multimedia Super Corridor). Kedua-dua kempen mega ini telah menimbulkan pelbagai pandangan dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai tingkat sama ada melalui kedudukan geografikalnya, pendidikan, ekonomi, sosial dan latar belakang agama serta budayanya. Kempen mega ini juga sedikit sebanyak telah memberi satu kejutan dalam cara hidup masyarakat seperti dunia tanpa sempadan dan menukar pertanian kepada perindustrian sebagai penjana ekonomi negara serta memastikan teknologi sebagai perkara yang mesti diambil berat oleh setiap individu dalam masyarakat. Dengan itu ia menuntut satu perubahan besar dari segi taraf pendidikan, budaya kerja, pemikiran dan pandangan serta cabaran yang lebih hebat akan bagaimana untuk menseimbangkan atau menyerap perbezaan kaum masyarakat majmuk negara ini. Ia bukanlah perkara baru kerana Malaysia pernah melalui masalah ini dalam sejarah perjalanan Negara tetapi cabaran baru ini berbeza bentuknya dan harus dineutralkan secara pantas mengikut tuntutan semasa. Kepincangan ekonomi pada penghujung tahun 90an memberi tamparan lebih hebat dalam masyarakat tetapi tindakan yang diambil oleh kerajaan telah berjaya memulihkannya dalam masa yang singkat. Masalah-masalah yang berlaku di luar negara juga memberi impak kepada perubahan struktur masyarakat di mana jelas terlihat perubahan dalam cara rakyat Malaysia bertindak dan respon terhadap apa yang berlaku. Masyarakat juga telah sedar pentingnya memberi perhatian dan membantu dalam apa saja bentuk dan situasi yang berlaku di seluruh dunia. Perubahan pendekatan yang diamalkan dalam masyarakat Malaysia telah banyak membantu melonjakkan nama Malaysia di persada dunia dan lebih memudahkan negara merealisasikan dua impian mega tersebut.

Pengaruh

Segala apa yang berlaku dalam masyarakat dan Negara juga boleh dilihat dalam karya yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis muda Malaysia yang dipilih menyertai pameran ini. Orang muda atau lebih sinonim dengan panggilan belia merupakan golongan majoriti dalam masyarakat Malaysia. Pertentangan fikiran antara golongan veteran dengan muda adalah lumrah di mana-mana. Majalah The Time,6 Januari 1967 melalui artikel bertajuk Generation Gap mengatakan;

The young have already staked out their own mini society, a congruent

culture that has both alarmed their elders and, stylistically at least, left

an irresistible impression on them. No Western metropolis today lacks a

discotheque or espresso joint, a Mod boutique or a Carnaby shop. No

transistor is immune from rock 'n' roll, no highway spared the stutter of

Hondas. There are few Main Streets in the world that do not echo to the

clop of granny boots, and many are the "grannies" who now wear them.

What started out as distinctively youthful sartorial revolt—drainpipe

trousered men, pants-suited or net-stockinged women, long hair on male

and female alike--has been accepted by adults the world over.

The young seem curiously unappreciative of the society that supports

them. "Don't trust anyone over 30," is one of their rallying cries. Another,

"Tell it like it is," conveys an abiding mistrust of what they consider adult

deviousness.

Ini pada tahun 1967, tetapi apa yang berlaku dahulu berlaku juga kini dan situasinya tidak banyak berbeza. Kalau dahulu rock ‘n’ roll kini timbul pula hip-hop, grunge, punk dan pelbagai lagi. Dengan kata lain ia seolah-olah sebagai satu tuntutan zaman yang berterusan dan sepatutnya telah biasa ditangani. Sedikit masa dulu Xtreme Games seperti breakdance, skateboarding, in-line skating, freestyle motorcross, rock climbing dan BMX menjadi igauan ngeri golongan dewasa, tapi kini ia merupakan satu bidang ekonomi yang banyak membantu dalam menarik kedatangan pelancong dan pertukaran wang asing setelah ia ‘dihalalkan’ dengan acuan yang betul. Tetapi evolusi percanggahan pendapat ini tetap akan berlaku dan ia merupakan sesuatu yang unik dan membantu kita menjadi lebih kreatif untuk mencari jalan penyelesaian yang bukan saja mengurangkan kerisauan, masalah dan pembaziran bakat, malah menjana ekonomi negara. Hanya kematangan berfikir sahaja yang diperlukan untuk mengatasi semua masalah tersebut.

Ahli-ahli sosiologi dan psikologi memanggil golongan muda ini sebagai alienated (terasing) atau uncommitted (tidak terikat), tetapi sebenarnya golongan ini sangat terlibat dalam apa saja perubahan yang berlaku dalam negara khasnya dan dunia amnya. Mereka tidak pernah tertinggal dalam masyarakat keseluruhannya dan kekal jujur dan mempunyai rasa ingin tahu yang sentiasa menebal. Itulah yang mereka luahkan dalam apa saja media sama ada muzik, cara berpakaian, pergaulan, penulisan malah karya seni tampak. Tidak ada yang kekal selamanya dalam apa saja yang mereka lakukan dan ini jelas dapat dilihat apabila mereka meniti usia kematangan dan atas rasa ingin tahu yang kuat dan setelah merasainya itulah mereka akan memilih satu pendirian yang sesuai dengan budaya dan corak hidup yang mereka diami.





No comments:

Post a Comment