Wednesday, January 30, 2008

BAKAT MUDA SEZAMAN 2006 :Apa Dah Jadi?????

1974, bermulanya arena pencarian seniman muda sebagai satu galakan kepada perkembangan seni tanahair. Saban tahun berlalu ia telah melahirkan ramai seniman yang bermutu dan berdaya saing di persada seni tempatan mahupun antarabangsa. Setelah 34 tahun diadakan ia telah menjadi satu-satunya pertandingan senilukis nasional yang berprestij dan menjadi platform dan tanda aras kepada perkembangan bidang seni tanah air. BMS 2006 satu-satunya tempoh penyediaan karya yang paling lama dalam sejarah BMS (setahun kerana kerja-kerja renovasi Balai Seni Lukis Negara). Situasi ini menimbulkan rasa ingin tahu yang amat meresahkan kerana pada logikanya seniman mempunyai masa yang lebih dari cukup untuk menghasilkan karya yang berkualiti tinggi dengan membuat penyelidikan, pemerhatian, mengasah bakat dan skil, memastikan persembahan terbaik serta siapan teknikal yang jitu.

Seperti yang diketahui, perkembangan seni tampak di negara ini ada timbul tenggelamnya dan tidak lekang daripada kontroversi, malap, cerah dan pelbagai lagi. Terkadang ia di atas dan terkadang ia seolah-olah terpinggir. Melalui BMS juga kita boleh melihat perkara itu dan tahun ini ia seolah-olah mengalami musim malap. Pada peringkat pertama sesi penapisan telah jelas menampakkan perkara ini melalui permohonan penyertaan yang kurang bersedia, kurang pengetahuan menyediakan kertas cadangan, lakaran cadangan akhir yang kurang jelas dan perkara yang kelihatan sudah menjadi budaya iaitu penghantaran cadangan pada saat akhir sedangkan masa yang diberikan dan promosi serta borang telah diadakan awal dan menyeluruh.

Kurang peka kepada suasana bidang seni semasa jelas daripada cadangan yang dikemukakan. Kebanyakan karya yang dicadangkan tidak selari dengan tuntutan BMS iaitu karya kontemporeri dan cadangan rata-rata merupakan ide yang telah dibuat beberapa tahun dan mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran.

Sebanyak 34 permohonan telah terpilih untuk ke peringkat akhir. Tiga peserta menarik diri pada saat akhir iaitu Aznan Omar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di England, Shia Yi Ying yang melebihi had umur pertandingan dan Low Yi Chin atas sebab peribadi dan menjadikan hanya 31 peserta diminta untuk memperagakan karya mereka. Seperti tahun-tahun sebelumnya penganjur menyediakan ruang kepada setiap peserta untuk meletakkan karya mereka tetapi ia bukanlah wajib kerana BMS memberi peluang kepada peserta untuk menentukan sendiri di mana karya mereka patut diletak sebelum proses penilaian kedua dilaksanakan.

Kelemahan

Melalui seise kedua penilaian di mana pelukis diminta untuk mempersembahkan karya mereka dalam dialog terbuka dan telus, kebanyakan pelukis nyata sama ada kurang bersedia, takut untuk meluahkan idea mereka ataupun memang tidak memahami tujuan karya mereka dihasilkan. Ia jelas melalui seisi ‘sembang’ atau soalan-soalan yang dilemparkan oleh para juri di mana peluang tersebut seharusnya digunakan oleh pelukis untuk memperkatakan tujuan sebenar karya mereka dihasilkan kerana melalui proses ini kemungkinan satu perubahan boleh dilakukan dalam senario seni visual Malaysia khasnya. Ada antara pelukis yang mengangkat teori, falsafah dan pelukis ternama sebagai rujukan karya tetapi ia tidak direalisasikan dalam karya mereka. Kelemahan memahami teori yang dirujuk menampakkan kelemahan dalam penyampaian dan boleh menimbulkan pelbagai persoalan baru.

Terdapat juga karya yang mempunyai isi dan penyampaian visual yang kuat, tetapi tidak ‘matang’ atau ‘sampai’ kepada maksud yang ingin disampaikan. Pelukis seperti Fadzil Idris, Chan Kok Hooi, Azliza Ayob, Azahari Haji Khalip, Nuriman Amri, Hasanul Isyraf Idris, Fuad Arif, Pheh It Hao, Mohd Daud Abdul Rahim dan Umibaizurah mempunyai penyampaian visual yang kuat dan disokong dengan isi yang kuat tetapi setara dan tiada yang benar-benar menonjol dan boleh diangkat sebagai pemenang Anugerah Utama atau karya terbaik dan paling berbeza dalam senario senilukis terkini. Rata-rata pelukis juga tidak begitu mengambil berat tentang lokasi untuk meletakkan karya mereka di dalam ruang dan secara tidak langsung ia telah mengurangkan impak karya tersebut.

Antara kelemahan lain yang harus diambil perhatian oleh pelukis muda ialah proses mengkaji dan merujuk senario senilukis semasa. Mereka seharusnya melihat contoh-contoh karya yang pernah memenangi anugerah sebelum ini dan memahami dan melihat apakah perbezaan dan kelainan yang ditonjolkan dalam karya-karya tersebut. Sebuah karya tersebut hendaklah lari secara total daripada bentuk karya yang wujud pada masa itu sama ada daripada segi penyampaian visualnya, falsafahnya atau persembahannya. Dan terdapat banyak lagi ruang-ruang lain dalam penghasilan karya yang boleh diterokai oleh para pelukis untuk dihidangkan kepada penghayat. Hanya dengan cara membaca, mengkaji dan menyelidik serta mencuba, bidang seni visual di Malaysia akan berkembang subur selain daripada bentuk karya ‘jualan pasaran’ semata. Pelukis haruslah merasa bertanggungjawab ke atas perkembangan seni visual selain daripada menjual karya kerana masa depan seni visual terletak di tangan mereka selain daripada Balai Seni Lukis Negara. Fahamilah yang tahap komersialisme tersebut hendaklah diletak pada aras yang tinggi kerana komersialisme di tahap rendah akan mengakibatkan bidang seni visual terus dilihat sebagai sampingan semata-mata. Jualan karya yang melampau dalam pasaran oleh pembeli-pembeli ‘ego’ sememangnya menjamin kesenangan kepada setiap pelukis tetapi harus diingat yang ‘comfort zone’ atau zon selesa boleh mengakibatkan pelukis ‘malas’ atau dalam kata lain ‘berhenti’ membaca, mengkaji dan menyelidik dan ia boleh dilihat dalam karya yang dihasilkan dalam BMS 2006 amnya dan senario seni visual secara keseluruhannya. Hampir tiada perkembangan atau persembahan baru yang ditonjolkan dalam senario seni visual kebelakangan ini walaupun kegiatan seninya begitu meriah.

Dialog

Seperti biasa BMS 2006 juga disokong dengan seisi dialog yang biasanya panas. Dan kali ini isu tiada pemenang pula dipersoalkan. Rata-rata mentaliti penghayat (terdiri daripada ‘orang biasa’ dan juga jaguh-jaguh seni visual) masih berpegang kepada setiap pertandingan harus ada pemenang. Tetapi harus diingat BMS bukanlah gelanggang olahraga atau badminton. BMS merupakan satu-satunya Anugerah yang menjadi rujukan pengkaji seni, pengkritik dan penulis dalam dan luar negara. Adalah menjadi satu tanggungjawab berat kepada Balai Seni Lukis Negara untuk memberi pengikhtirafan kepada karya yang tidak memenuhi kriteria yang benar-benar menonjol, terkini dan dijadikan sebagai tanda aras perkembangan seni visual semata-mata untuk memenuhi kehendak mentaliti ortodoks setiap pertandingan. Semua pihak termasuk pelukis muda, pelukis senior, pensyarah, para profesor, tutor, pengkritik, sejarahwan seni, guru-guru, para kurator dan ‘orang atas’ harus membuka minda untuk bersama-sama melihat dan mengambil berat perkembangan seni visual semasa. Kita tidak mahu mengangkat karya yang akan menjadi tanda aras kemunduran bidang seni sebagai ikon serta menjadi bahan jenaka. Kenyataan ini memang amat pahit untuk ditelan tetapi sebagai warga seni yang berfikiran kreatif, terbuka dan agresif kita harus sama-sama memperbaiki keadaan ini dan mengambil sesuatu tindakan terbaik agar perkara ini tidak mencacatkan perkembangan seni visual tersebut. Seisi dialog, perbincangan dan budaya kritikan terbuka (minda) merupakan antara tindakan yang boleh dijadikan sebagai jambatan untuk memperbaiki keadaan ini dan penglibatan semua pihak terutamanya pendidik seni dalam majlis seperti ini amat diharapkan dan bukan sekadar muncul di majlis-majlis perasmian atau penganugerahan semata. Ilmu yang dimilik seharusnya dikongsi bersama jika merasa diri sebagai khalifah di muka bumi.

Penganjur amat berharap agar semua pihak mula berfikir dan mencadangkan format dan cara yang paling sesuai dalam membantu perkembangan seni visual Malaysia. Kami sebagai penganjur sentiasa mengkaji dan memerhati anugerah-anugerah utama di seluruh dunia untuk disesuaikan dengan keadaan setempat agar anugerah BMS ini terus memainkan peranan sebagaimana niat dan tujuan ia dimulakan pada tahun 1974. Syabas kepada pemenang.

Senarai Juri

Encik Nasir Baharudin

Encik Zuhir bin Haji Shaari (U-Wei)

Encik J. Anurendra

Cik Yee I Lann

Encik Rizki Akhmad Zaelani Harry (Pensyarah,Kurator, penulis seni – Bandung, Indoseia)

Renungan

“Kontemporer dalam dunia seni visual bukan hanya merujuk kepada makna literal, yakni kekinian. Ia merujuk kepada prinsip-prinsip mengkritik, memperluas, bahkan menihilkan (mempersoalkan) perinsip-prinsip sedia ada sebelumnya”

“Contemporary means to being ‘bad’”

“Karya kontemporari seharusnya ‘mengacau’ atau dengan kata lain membuat penghayat ‘kurang selesa’ untuk mencari jawaban kepada persoalan yang dikemukakan”

29 Januari 2008

No comments:

Post a Comment