Friday, August 20, 2010

KepadaMu Kekasih: Dengan nama Allah yang maha Pemurah dan maha Penyayang




Dengan nama Allah yang maha Pemurah dan maha Penyayang

Pameran KepadaMu Kekasih (yang Maha Esa) dirancang khas sempena menyambut kedatangan Ramadhan 1431 dan merupakan julung-julung kalinya pameran bertema seumpama ini diadakan. Seramai 75 pelukis telah dijemput untuk mengambil bahagian dan sebanyak 59karya telah terpilih. Tema yang dipilih berdasarka lagu ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Eunossasah merupakan satu cabaran kepada pelukis untuk mencari makna, merungkai maksud dan menyatakannya di atas permukaan. Pelbagai pendekatan telah diambil oleh pelukis untuk manzahirkan rasa kecintaan kepada Allah dan mensyukuri nikmat yang telah dikurniakanNya. Bersesuaian dengan ayat pertama yang diturunkan oleh Allah iaitu menuntut manusia agar membaca dan menulis dengan kalam, maka disarankan penghayat akan membaca visual yang dipaparkan dalam setiap karya sebagai muhasabah diri agar kembali kepadaNya . Di sini disertakan serba sedikit panduan membaca visual yang dipaparkan melalui pandangan artis dan diolah oleh kurator pameran dan penghayat diajak untuk berfikir dan membaca lebih mendalam apa yang dipaparkan baik secara terus atau terselindung.

“Bacalah (ya Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan”.
- Surah Al ‘Alaq, ayat 1


Kalammullah
Kebanyakan pelukis mengambil jalan mudah dengan menggunakan kaligrafi sebagai pendekatan untuk menyampaikan maksud tema. Kaligrafi Islam atau lebih dikenali sebagai kaligrafi Arab merupakan amalan artistik dari tulisan tangan, atau kaligrafi, dan dengan perluasan, dari pendokumentasian atau penerbitan buku di negeri-negeri yang berkongsi warisan budaya umum Islam. Bentuk seni ini didasarkan daripada tulisan Arab, di mana ia digunakan dalam waktu yang lama oleh semua muslim dalam budaya bahasa masing-masing. Mereka menggunakannya untuk mewakili Allah (Qalamullah / ayat-ayat Allah) kerana orang Islam diharamkan untuk menggambarkan Allah secara visual atau mewakiliNya dengan benda. Kaligrafi. dihormati di kalangan orang Islam kerana seni ini merupakan alat utama untuk memelihara Al-Quran. Kecurigaan seni figuratif termasuk benda menyebabkan kaligrafi dan penggambaran abstrak menjadi bentuk utama ekspresi seni dalam budaya Islam, khususnya dalam konteks agama.

Pendekatan paling mudah untuk menunjukkan ketaatan kepadaNya ialah dengan menggunakan ayat-ayatNya sebagai peringatan dan panduan kepada diri sendiri dan juga penghayat. Hanya satu sahaja karya yang menggunakan unsur kaligrafi tradisional iaitu Mohammed Yusof Abu Bakar, Al- Basmallah (Thuluth) manakala karya-karya lain mengambil pendekatan seni lain seperti seni moden (abstrak eksperisionisme), catan berus cina dan menggunakan pelbagai media seperti cat minyak, akrilik, cat air, serbuk marmar dan pelbagai lagi; tetapi masih mengekalkan ciri-ciri kaligrafi Islam di mana ia bertujuan untuk memaparkan ayat-ayat Allah dengan cara yang lebih menarik perhatian melalui palitan warna-warna terang dan bersahaja. Selain daripada itu, terdapat juga karya-karya yang menggunakan bentuk atau karektor tulisan jawi (Arab) yang digabung dan dikomposisikan dengan unsur lain seperti alam secara harmoni. Pembacaan kurator disebalik karya yang dipaparkan sebegini ialah bahawa Islam itu menyeluruh dan merangkumi segala aspek kehidupan manusia sama ada makhluk, tumbuhan, benda dan segalanya.



Tiadakah mereka memperhatikan, bagaimana Allah memulai kejadian, kemudian Dia mengulangnya (menghidupkannya kembali). Sesungguhnya demikian itu mudah bagi Allah.
–Surah Al’Ankabuut, ayat 19


Pameran ini dimulakan dengan karya yang memaparkan ayat Bismillahirahmanirrahim iaitu satu lafaz suci bagi setiap orang yang mengaku dirinya Islam sebelum melakukan sesuatu perkara yang baik. Ia bertujuan agar perkara yang akan dilakukan itu diberkati dan mendapat rahmat daripada Allah. Karya bertajuk Iqra’ , Bacalah Dengan Penuh Kasih, media campuran atas kanvas, 2010, 82 x 61cm oleh Muhammad Hafiz Ishak dipaparkan dengan cara sapuan berus yang spontan dengan menggunakan warna yang terang. Iqra’ merupakan merupakan wahyu (perkataan) pertama daripada surah Al-Iqra’ yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SWT yang membawa maksud ‘bacalah’ yang membuktikan betapa Allah mementingkan ilmu dalam menghadapi hidup di dunia. Pembacaan adalah punca ilmu. Islam menggalakkan umatnya mencari ilmu. Quran itu sendiri merupakan sumber ilmu yang paling tinggi, dan seharusnya dikaji. Semakin tinggi ilmu kita miliki semakin hampir kita kepada Allah dan semakin kita rasa kecil. Bak kata falsafah Arab, Setiap ilmu yang kita dapat itu umpama setitik air di lautan luas, mustahil untuk kita mendapat semuanya, terdapat juga dalam hadith mahsyur yang sering diperkatakan, Tuntutlah ilmu hingga ke Negeri China. Di sini jelas kepada kita betapa pentingnya budaya ilmu di sisi Allah.

Pembacaan atau belajar hendaklah berguru. Tanpa guru ilmu yang dipelajari mungkin boleh menyesatkan. Dalam karya Syed Mohd Amin Syed Shahab bertajuk Hukum Kasih, memaparkan potret dua orang tokoh agama yang penting di Nusantara iaitu Tok Lombok dan Tok Kenali. Penggunaan ‘benda siap’ seperti tongkat, keris, sejadah, tasbih dan tikar mengkuang merupakan perlambangan yang mewakili kedua orang guru ini yang telah melahirkan ramai tokoh agama dan pemimpin negara yang unggul dan sehingga kini amalan dan ajaran Allah yang telah mereka sampaikan masih diikuti dan diamalkan.
Manakala dalam karya Mastura Abdul Rahman yang bertajuk Kalimah Yang Baik pula dipaparkan nilai hidup yang dituntut oleh Allah. Sesungguhnya Allah suka kepada kalimah yang baik dan menyeru hambanya berbuat baik dan berkata dengan ayat yang baik sahaja. Karya Fauziah Zakaria yang bertajuk Asma al-Husna pula memaparkan 99 nama Allah yang menggambarkan betapa besarnya kuasa Allah yang menciptakan langit dan bumi serta makhluk di dalamnya. Allah tiada dua dan tidak menyerupai mana-mana makhluk pun, sesungguhnya Allah wujud dan sentiasa melihat dan mendengar apa yang dilakukan oleh hambaNya.



Melihat ke dalam diri
Selain daripada pendekatan Khat / kaligrafi, tulisan yang menjurus kepada kepentingan ilmu dan pembacaan, pendekatan merenung atau melihat ke dalam diri juga diambil oleh pelukis sebagai cara menyampaikan kecintaan kepada Kekasih. Karya Annasuwandi yang bertajuk Jangan Biar Serigala Di Pintu merupakan kiasan terhadap perlunya hati (pintu) dijaga daripada godaan nafsu (serigala) jika ingin menuju ke jalan Allah, sesuai dengan firman Allah yang membawa maksud;

Demikianlah Kami turunkan Qur’an (berisi) hukum dan dalam bahasa Arab. Demi, jika engkau ikut hawa nafsu mereka, setelah datang ilmu pengetahuan kepadamu, maka tidak ada bagimu wali dan tiada pula yang memeliharakan dari (siksaan) Allah.
-Surah Ar-Ra’d, ayat ke 37


Melalui ayat itu menggambarkan betapa pentingnya kita menjaga hati jika ingin rapat denganNya.

Dalam karya Alina Abdullah bertajuk Revealing Beauty (Menyingkap Indah), memaparkan bunga ros atau mawar iaitu antara cipataaNya yang amat sempurna dengan baunya yang harum dan bentuknya yang sangat cantik. Tiada yang menyanggah, namun tidak ramai juga yang menyingkap Nisbah keemasan adalah nisbah sempurna terkandung dalam rahsia alam. Rahsia alam yang tersembunyi pada setiap hidupan yang terbentang. Dalam setiap mikrokosmos, dalam setiap makrokosmos. Ah, rugilah bagi yang enggan melihat!
"The optimist sees the rose and not it's thorns, the pessimist stares at the thorns, oblivious to the rose." - Kahlil Gibran.




Karya Fadzil Idris yang bertajuk Aku dan al Malik Fahd memberi peringatan kepada kita, walau apapun darjat dan pangkat kita di dunia, tetapi di sisiNya kita adalah sama. Dalam Al-Quran dibuktikan dengan beberapa ayat mengenai kesamarataan manusia di sisiNya. Yang membezakan darjat setiap manusia adalah amal soleh seperti yang tertera dalam ayat di bawah ini.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah manusia yang sebaik-baiknya.
- Surah Al-Bayyinah, ayat 7


Dalam karya Dr. Sulaiman Esa bertajuk Garden of Mystery pula kita dituntut untuk percaya akan wujudnya alam akhirat di mana sebelum itu kita dibangkitkan semula untuk dihisab dan ditentukan tempat kekal kita sama ada di neraka jahanam ataupun di Syurga Fidausi bergantung kepada amalan. Jika syurga balasannya manusia dijanjikan satu hidup kekal yang sangat indah di mana dibawahnya mengalir susu dan disediakan bidadari yang cantik yang tidak dapat digambarkan oleh akal manusia.
Unsur Alam yang penting
Allah telah menciptakan alam ini dengan pelbagai unsur penting seperti air, tenaga, flora, fauna, bulan, bintang, matahari, cahaya dan sebagainya. Kesemuanya saling melengkapi anatara satu sama lain dalam memastikan kestabilan alam dan makhluk di dalamnya. Air sebagai satu unsur dan keperluan dalam kehidupan manusia, haiwan dan semua flora dan fauna juga selalu dilambangkan sebagai satu ‘cermin’ yang boleh memberi refleksi kepda apa saja yang mempunyai jisim. Karya-karya daripada Wan Ahmad Ngah, Kekasih Ku Kenyir, Amin Asa’at, Kembali Pada-Nya, Syed Nahar b. Syed Abd Hamid, Bersumpah Setia, Suzlee Ibrahim, Siri Ombak: Angin Malam (No. 1), Hamdan Shaarani, Siri Refleksi: Hutan Belum, Johan Marjonid, Mencari Kalamullah di Bayangan Darul Quran dan Rahim Mat, The Way of Seeing,Through the Knowledge of Certainty, Through the Eyes of Certainty, Through the Truth of Certainty menggunakan unsur air sebagai tema dengan pendekatan dan isi yang berbeza. Karya Wan Ahmad Ngah dan Rahim Mat menggunakan keindahan alam sebagai tarikan dan pesanan agar penghayat menghormati dan menjaga alam ciptaanNya. Manakala dalam karya Amin pula refleksi potret diri digambarkan secara samar, larut dan beransur-ansur hilang yang mewakili dan member peringatan yang tiada apa akan kekal di dunia ini, sampai detik kita akan kembali kepadaNya. Melalui karya abstrak ekspresionis Suzlee Ibrahim pula, pelukis ingin memberi peringatan kepada penghayat yang setiap ombak yang datang dan membasahi kaki kita tidak akan sama dan tidak akan dapat kita kenali. Di sini jelas kepada kita betapa hebatnya ciptaan Allah. Semasa kecil ombak menjadi kawan apabila besar akan memusnahkan apa saja yang menghalang. Itulah janji Allah kepada hambaNya yang engkar. Syed Nahar b. Syed Abd Hamid pula mengambil gambaran kisah Nabi Musa yang telah Allah selamatkan daripada kekejaman Firaun dan bala tenteranya dengan membelah lautan untuk memberi jalan untuk Musa dan umatnya menyeberangi Laut Mati dan kemudiannya menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya. Maha agung Allah yang berkuasa membuat apa saja kepada hambaNya yang terpilih. Karya hyper realist Johan Marjonid pula menggambarkan refleksi bangunan Darul Quran yang merupakan pusat tahfiz dan mempelajari ilmu Al-Quran di mana kita boleh melihat kanak-kanak dan remaja begitu khusyuk dan tekun untuk menguasai Al-Quran dan mendekatkan diri kepada Pencipta.



Unsur alam lain yang digunakan dalam karya yang dipamerkan ialah tenaga yang boleh dilihat dalam karya Daud Abdul Rahim dan Datuk Syed Ahmad Jamal (Seniman Negara) Dalam karya Daud Abdul Rahim yang bertajuk Tenaga-Gelombang, menggambarkan betapa setiap apa yang ingin kita bina sebagai keperluan hidup memerlukan tenaga dan gelombang. Unsur yang tidak dapat dilihat ini harus diambilkira dalam pembinaan bangunan tinggi, kenderaan dan sebagainya. Tanpa rasa ’hormat’ kepada unsur ini akan mendatangkan musibah kerana Allah telah memberitahu akan wujudnya unsur-unsur ini di dalam Al-Quran. Manakala karya Datuk syed Ahmad Jamal yang bertajuk Nur Tenaga pula menggabungkan unsur lain iaitu cahaya yang juga boleh menghasilkan tenaga yang digunakan oleh kita sehari-hari, contohnya tenaga solar. Karya Abdul Multhalib Musa bertajuk Inverted Swirls 1 menggunakan unsur cahaya sebagai cara persembahan untuk menghasilkan bayang dan mewujudkan permukaan negatif dan positif yang merupakan pasangan yang telah Allah ciptakan. Allah telah menciptakan alam dengan pasangannya masing-masing seperti malam dan siang, bulan dan matahari, lelaki dan perempuan, sejuk dan panas, dan begitu juga yang telah dipaparkan oleh Rosli Zakaria dan karya instalasi arcanya bertajuk Siri AF5: 5 sebelum 5 iaitu sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, hidup sebelum mati dan kaya sebelum miskin.

Bukanlah Kami (yakni Allah) jadikan langit, bumi dan apa-apa yang di antara keduanya dengan bermain-main (percuma atau sia-sia sahaja).
Tiadalah Kami (yakni allah) jadikan keduanya melainkan dengan kebenaran, tetapi kebanyakan mereka tiada mengetahui.
- Surah Ad Dukhaan ayat ke 38 dan 39.

Tidakkah orang kafir mengetahui, bahawa beberapa langit dan bumi adalah keduanya bertaut (bersatu), lalu Kami (yakni Allah) belahkan keduanya? Kami (yakni allah) jadikan tiap-tiap sesuatu yang hidup dari air. Tiadakah mereka percaya.
Kami jadikan di muka bumi (gunung-ganang) yang tegak kukuh, supaya jangan ia bergerak-gerak sesama mereka; dan Kami (yakni Allah) adakan jalan-jalan yang luas di atasnya, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.
Kami jadikan langit, sebagai atap yang terpelihara (tiada roboh), tetapi mereka berpaling daripada ayat-ayatNya (dalil-dalilNya)
Dia yang menjadikan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing beredar di atas falak (di tempat peredarannya).
-Surah Al-Anbiyaak, ayat ke 30-33

Allah mempergantikan malam dengan siang. Sesungguhnya pada demikian itu menjadi ibrah (pengajaran) bagi orang-orang yang mempunyai pemandangan.
Allah menjadikan tiap-tiap binatang daripada air, setengahnya berjalan dengan perutnya (menjalar, melata), setengahnya berjalan dengan dua kaki dan diantaranya berjalan dengan empat kaki. Allah menjadikan apa-apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
-Surah An-Nur ayat 44 dan 45


Solat, Syukur dan Doa
Dalam karya Aznan Omar yang bertajuk Sujud, memaparkan sejadah yang diperbuat daripada aluminium dan kesan lekukan dahi, dua tapak tangan dan dua kaki sebagai perlambangan kepada kita betapa pentingnya solat dalam kehidupan kita sebagai hambaNya.

Kepentingan solat dan peraturan hidup ini juga dipaparkan secara simbolik dalam karya Zakaria Sharif , Itik Pulang Petang dan Amir Arshad, Terbang Bebas II (Mencari Jalan Pulang). Itik pulang petang dan bangau terbang mencari jalan pulang merupakan perkara yang berlaku berulangan setiap masa dan waktu atau dengan kata lain tabii ataupun peraturan hidup sebagai makhlukNya. Ia membawa maksud yang sebagai seorang manusia, hidup kita telah dibekalkan dengan peraturan iaitu apabila tiba waktunya wajiblah bersolat, bila tiba Ramadhan wajiblah berpuasa, menunaikan haji di Mekah bila mampu seperti yang digambarkan dalam karya Fauzin Mustafa bertajuk Siri Zikrullah 1- Menatap Sang Kekasih dan pelbagai lagi yang telah Al-Khalid tentukan kepada kita.

Demi masa,
Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan berwasiat (nasihat-menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran.
-Surah Al-Asr –, ayat 1-3


Manakala dalam karya Ahmad Zuraimi Abd Rahim bertajuk Satu dan karya Mohd Saharuddin Supar bertajuk Internal No 21- Straight Line, memaparkan Allah itu satu dan wujud, walaupun tidak nampak. KekuasaanNya menciptakan alam daripada pelbagai bahan seperti logam yang pelbagai dan juga sesuatu yang teratur dan tersusun pada tempatnya seperti kejadian alam angkasa lepas dengan barisan planet pada paksinya seharusnya direnungi dan membawa rasa rendah diri dan bersukur serta menjadikan kita hamba yang soleh. Kekuasaan Allah juga dipaparkan dalam karya Diana Ibrahim bertajuk Inclusion #1 yang menggunakan bahan campuran antaranya seperti kaca dan rod tembaga menggambarkan penyatuan jiwa sebagai hamba dengan penciptaNya seperti bayang tanpa cahaya. KekuasaanNya juga digambarkan dalam karya Intan Rafizah Abu Bakar yang bertajuk Wujud dengan menggunakan pendekatan instalasi lembut fabrik dan teknik jahitan yang mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Sebagai hambaNya kita hendaklah sentiasa bersyukur dalam apa jua keadaan sama ada semasa senang mahupun duka. Setiap apa yang kita lalui merupakan ujian daripadaNya kepada hambaNya yang terpilih. Dalam karya Nasir Che Din bertajuk Ameen, Ajis Mohamad, Doa, Ronnie Mohamad, Segala puji Bagi Mu dan Md. Sani bin Md Dom bertajuk Alhamdulillah memaparkan tangan yang menadah doa yang juga posisi tangan bila manusia bersyukur.


Doa, di samping suatu bentuk amal ibadah, juga merupakan kurniaan Allah yang sangat berharga bagi manusia, kerana melalui doa, Allah akan memberikan kepada manusia sesuatu yang Dia pandang baik dan bermanfaat bagi dirinya.

Doa adalah saat-saat ketika dekatnya seseorang dengan Allah dapat dirasakan. Sebagai hamba Allah, seseorang sangat memerlukan Dia. Hal ini karena ketika seseorang berdoa, ia akan menyedari betapa lemahnya dan betapa hinanya dirinya di hadapan Allah, dan ia menyedari bahawa tak seorang pun yang dapat menolongnya kecuali Allah. Keikhlasan dan kesungguhan seseorang dalam berdoa bergantung pada sejauh mana ia merasa memerlukan.

Dari Ali RA meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda; Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi.
(Hadis riwayat Hakim)


Akhir sekali sesungguhnya amat besar kuasa Allah yang telah menjadikan alam ini sesempurna dan sebaik mungkin untuk kita gunakan dan disediakan kitab Al-Quran dan hadith sebagai sumber ilmu agar kita menjadi hamba yang tinggi amalannya dan bersyukur.

Mohamad Majidi bin Amir

Rujukan-
Prof. Dr. H. Mahmud Yunus, Tafsir Quran Karim, (1973), P.T. Hidakarya Agung, Djakarta

No comments:

Post a Comment